Saturday 26 May 2012

para syuhada Uhud


PARA SYUHADA UHUD
                                                      
UMMIE HAZIZAN BT MD ZUKERY & FARIDAH BT ELIAS

                                                                                Pengenalan                            
            Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu 11 Syawal tahun ke-3 hijrah bersamaan 26 Mac 625 Masihi(K.H.Moenawar Chalil,1999:103) antara pasukan Quraisy Mekah dipimpin Abu Sufyan bin Harb dengan pasukan muslimin di bawah pimpinan Nabi Muhamad SAW. Peperangan ini dinamakan Perang Uhud kerana terjadi sekitar bukit Uhud .Pasukan musyrikin Mekah berjumlah 3 ribu orang lengkap dengan senjata serta mendapat bantuan dari beberapa kabilah Arab antaranya Kinanah dan Tihamah. Pasukan Muslimin pada mulanya berjumlah 1 ribu orang tetapi pada saat akhir Abdullah bin Ubay dan para pengikutnya seramai 300 orang menarik diri pulang ke Madinah. Dengan itu jumlah sebenar pasukan Muslimin yang terlibat dengan Perang Uhud 700 orang sahaja.
            Bukit Uhud terletak di sebelah utara Kota Madinah. Jauhnya kira-kira 6 kilometer dari Masjid Nabawi. Di namakan Gunung Uhud kerana keadaannya tunggal tidak bersambung dengan gunung-gunung yang lain. Dari jauh gunung tersebut tampak kemerahan kerana terdiri dari batu kerikil merah. Sejarah ada mengatakan bahawa Bukit Uhud berwarna merah kerana menangisi kekalahan umat Islam.
            Dalam pertempuran di kaki Bukit  Uhud itu pasukan Muslimin mengalami kekalahan di mana 70 orang pahlawan gugur syahid manakala di pihak lawan cuma 23 orang sahaja yang terbunuh. Antara yang syahid ialah Hamzah bin Abdul Muthalib. Dalam peperangan tersebut, Rasulullah sendiri juga mengalami luka-luka di bahagian muka dan gigi beliau patah.
             Bukit Uhud merupakan gunung yang bersejarah bagi orang Islam kerana di sinilah bersemadinya 70 orang syuhada termasuk Hamzah bin Abdul Muthalib. Menurut satu riwayat, di situ jugalah kubur Nabi Harun saudara kandung Nabi Musa
.
            Jika diperhatikan betul-betul, dikatakan kedudukan Bukit Uhud sedikit senget kerana ada kaitannya dengan Peperangan Uhud . Ketika para syuhada hendak dikebumikan agak jauh sedikit dari BukitUhud, maka, Bukit Uhud bergerak untuk mengikut mengiringi jenazah tersebut tetapi baginda Rasulullah SAW melarang Bukit Uhud dari berubah tempatnya. Oleh kerana itu, Bukit Uhud sedikit condong dari kedudukan asalnya.
            Setiap kali Rasulullah SAW melalui Bukit Uhud, baginda akan berkata kepada para sahabat, "Lihatlah Bukit Uhud ini, dia mencintai aku dan aku mencintai dia."
                                    Faktor-faktor Berlakunya Perang Uhud
            Kekalahan kaum Musyrikin Makkah dalam peperangan Badar benar-benar telah menjatuhkan maruah mereka sehinggakan pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua mereka merasakan lebih baik mati daripada hidup dengan terhina(Al-Mubarakpuri,1979:240).Perasaan dendam terhadap kaum muslimin semakin berkobar-kobar dalam hati mereka kerana harta dagangan mereka telah dirampas oleh kaum Muslimin dan perdagangan mereka tergugat. Orang Quraisy berasa tergugat kerana mata pencarian mereka bergantung kepada perniagaan. Perniagaan yang paling penting bagi mereka adalah di antara Makkah dan Syam. Setiap kali pedagang mereka ke Syam, mereka akan disekat di Madinah. Mereka ingin mencari jalan lain yang lebih selamat untuk meneruskan perniagaan mereka dan akhirnya mereka menemui jalan baru tetapi perjalanan ini lebih jauh kerana terpaksa melalui Iraq terlebih dahulu sebelum tiba di Syam. Keadaan ini menyebabkan orang Quraisy tidak berhenti berusaha mencari jalan untuk membalas dendam kepada Nabi S.A.W dan kaum Muslimin.
            Perjalanan mereka melalui Iraq sebelum tiba ke Syam jauh lebih panjang daripada melalui Madinah. Tetapi orang Quraisy merasakan mereka lebih selamat apabila melalui jalan ini. Pedagang pertama yang dihantar pihak Quraisy melalui jalan ini dipimpin oleh Abu Sufyan. Pedagang ini membawa harta yang banyak dan sejarah ada menyebut sejuta dirham wang perak. Mereka menghantar wang ini bagi membeli barang dari Syam dan dijual di Yaman.
Allah s.w.t menceritakan di dalam al-Quran ayat 1-4 surah Quraisy:
É#»n=ƒ\} C·÷ƒtè% ÇÊÈ   öNÎgÏÿ»s9¾Î) s's#ômÍ Ïä!$tGÏe±9$# É#ø¢Á9$#ur ÇËÈ   (#rßç6÷èuù=sù ¡>u #x»yd ÏMøt7ø9$# ÇÌÈ   üÏ%©!$# OßgyJyèôÛr& `ÏiB 8íqã_ NßgoYtB#uäur ô`ÏiB ¤$öqyz ÇÍÈ  
Maksudnya:
 “Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy iaitu kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka menjalankan perniagaan pada musim sejuk ke negeri Yaman dan pada musim panas ke negeri Syam. Oleh itu, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah kaabah ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka daripada kelaparan dan mengamankan mereka daripada ketakutan”.
            Satu rehlah ke Syam dan satu rehlah lagi ke Yaman. Mereka bergerak secara rahsia. Walau bagaimanapun, salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang bernama Sulait mempunyai seorang sahabat baik daripada orang Quraisy yang bernama Nuaim bin Mas’ud. Nuaim adalah salah seorang pembesar Quraisy yang tahu berkaitan perjalanan perdagangan ini dan pada suatu hari, ketika dia sedang mabuk, Nuaim menceritakan perjalanan perdagangan ini dari mula sampai ke akhirnya(K.H.Moenawar Chalil,1999:113). Sulait yang berjaya mengorek rahsia cepat-cepat melaporkannya kepada Rasulullah S.A.W.
            Rasulullah S.A.W menyuruh menyiapkan sariah dan bergerak menunggu pedagang Abu Sufyan di pertengahan jalan ke Iraq. Apabila rombongan Abu Sufyan lalu, mereka menyerang rombongan tersebut, dan anggota rombongan tersebut lari menyelamatkan diri termasuklah Abu Sufyan dengan meninggalkan unta-unta dan wang. Sariah ini berjaya dibawa balik ke Madinah dan semua harta dirampas. Kali ini orang Islam berjaya mendapat harta rampasan yang besar dan perkara ini mengejutkan kaum Quraisy Makkah.
            Kaum Musyrikin Makkah tidak mempunyai pilihan lain lagi, selepas harta perdagangan Abu Sufyan dirampas oleh sariah Zaid bin Harithah, mereka meminta semua orang Makkah bersiap sedia untuk berperang. Orang Quraisy mengeluarkan wang yang disimpan untuk perniagaan mereka bagi membiayai peperangan menghapuskan orang Islam Madinah.
            Abu Sufyan meminta bantuan daripada keturunan Ghatafan yang didatangi tentera Islam beberapa bulan yang lalu dan mereka memberi bantuan kepada Abu Sufyan. Abu Sufyan juga meminta bantuan daripada Ahabish dan mereka turut menghulurkan bantuan. Abu Sufyan bekerja keras dan berjaya mengumpulkan 3000 orang tentera(Al-Mubarakpuri,1979,241) .Dalam masa tidak sampai setahun daripada kekalahan tentera Musyrikin Makkah dalam perang Badar yang seramai 1000 orang, kini Abu Sufyan berjaya mengumpulkan 3000 orang tentera dan 50000 dinar.
            Sehubungan dengan peristiwa itu Allah S.W.T menurunkan wahyu kepada Nabi S.A.W dalam surah Al-Anfal ayat 36:
¨bÎ) šúïÏ%©!$# (#rãxÿx. tbqà)ÏÿZムóOßgs9ºuqøBr& (#rÝÁuÏ9 `tã È@Î6y «!$# 4 $ygtRqà)ÏÿZãŠ|¡sù §NèO Ücqä3s? óOÎgøn=tæ Zotó¡ym §NèO šcqç7n=øóム3 z`ƒÏ%©!$#ur (#ÿrãxÿx. 4n<Î) zO¨Yygy_ šcrçŽ|³øtä ÇÌÏ
Maksudnya:“Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka bagi menghalangi (orang) daripada jalan Allah.Mereka akan menafkahkan harta itu,kemudian menjadi sesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan.dan kedalam neraka jahannamlah orang-orang kafir itu dikumpulkan”.
                                                Strategi Peperangan
            Sebelum peperangan Uhud berlaku nabi Muhammad S.A.W telah bermimpi mengenai seekor lembu disembelih, hujung pedang baginda sumbing, pedang baginda yang bernama Dzulfiqar tercabut dari sarungnya, tangan baginda dimasukkan ke dalam baju perangnya yang tersimpan dan baginda menyembelih seekor kibas. Mimpi ini telah diceritakan oleh baginda nabi Muhammad S.A.W kepada kaum Muslimin.
            Sebahagian sahabat bertanya mengenai takwil mimpi tersebut dan Nabi S.A.W menerangkan, “Lembu yang disembelih itu bermaksud seorang daripada sahabatku akan terbunuh, hujung pedangku yang sumbing bermaksud seorang daripada keluargaku akan terbunuh, terlepas pedang Dzulfiqar daripada sarungnya bererti akan berlaku dua perkara yang hebat, tanganku yang aku masukkan ke dalam baju perang yang tersimpan  bermaksud kita harus bertahan di dalam kota Madinah, jangan sampai kita keluar dari kota Madinah dan sekiranya ada musuh yang datang dari luar, haruslah kita hadapi dan kita perangi dalam Madinah sahaja. Adapun kibas yang aku sembelih itu bererti aku akan membunuh seorang pelindung kaum”(Zulkifli,2007:173).
            Selepas nabi menceritakan takwil mimpinya baginda mengadakan mesyuarat bersama dengan Abu Bakar, Umar dan seluruh kaum Muslimin yang lain mengenai cara untuk menentang musuh yang akan datang menyerang. Apakah perlu keluar dari Madinah atau tidak.
            Dalam mesyuarat tersebut Rasulullah S.A.W berpendapat tidak perlu keluar dari Madinah dan lebih baik berjaga serta bersiap sedia di dalam kota sahaja. Hal ini kerana, kota Madinah dikelilingi bukit- bukau dan gunung –ganang yang mampu menjadi benteng yang kukuh dan tidak mudah diserang oleh musuh. Sekiranya musuh datang dari luar lalu berhenti dan tidak menyerang, maka, mereka juga perlu berhenti walaupun tidak memperoleh apa-apa. Sekiranya, musuh masuk dan menyerang, pasukan Muslimin akan berusaha melawan serangan mereka dengan sehebat-hebatnya(K.H.Moenawar chalil,1999:196).
            Pada awalnya, pendapat Nabi S.A.W ini dipersetujui oleh ketua-ketua Muhajirin dan Ansar serta Abdullah bin Ubay (ketua kaum Munafik).Namun, sebahagian tentera Muslimin yang diketuai oleh Hamzah sebagai ketua pemuda  menolak dengan keras dengan mengemukakan alasan yang kuat untuk bertahan di luar kota Madinah.
            Golongan yang menuntut untuk bertahan di luar kota lebih ramai sedangkan wahyu daripada Allah S.W.T tentang soal tersebut tidak ada. Akhirnya nabi membuat keputusan mengikut suara majoriti. Keputusan diambil dengan sebulat suara iaitu kaum Muslimin keluar dari kota Madinah bagi menghadapi dan menyerang musuh. Seramai 1000 orang tentera termasuk kaum munafik keluar dari Madinah.
            Tentera Islam dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertahanan dan bahagian yang akan bertempur di medan perang(Al-Mubarakpuri,1979:243). Kemudian nabi membahagikan tenteranya kepada tiga pasukan iaitu pasukan Muhajirin, pasukan Aus dan pasukan Khazraj.
            Dalam perjalanan  iaitu ketika di asy-Syawt (Al-Mubarakpuri,1979:245) Abdullah bin Ubay cuba melemahkan tentera Islam dengan mempersoalkan sebab tentera Islam keluar ke medan terbuka sedangkan nabi S.W.T dari awal lagi berpendapat agar bertahan di dalam kota Madinah. Dia cuba mengeluarkan isu ini kerana dia tidak bersedia untuk berjihad. Akhirnya, dia pulang ke Madinah bersama 300 orang pengikutnya dan menjadikan tentera Muslimin seramai 700 orang yang akan berjihad(Zulkifli,2007:174).
            Perjalanan diteruskan sehingga pasukan Muslimin tiba di kaki Bukit Uhud. Mereka mendapati bilangan pihak musuh empat kali ganda lebih ramai dari kaum Muslimin. Nabi Muhammad S.A.W segera menyusun strategi dengan menjadikan bukit Uhud sebagai benteng bagi melindungi tenteranya.
            Sebelum bermula pertempuran, Rasulullah S.A.W risau melihat bukit kecil berhampiran dengan bukit Uhud yang memanjang ke arah medan perang di mana tentera musuh dapat berpusing ke arah bukit itu. Sesiapa yang dapat menguasai bukit tersebut dia dapat menguasai medan dengan panah. Rasulullah S.A.W memilih 50 orang pemanah yang cekap yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair dan memerintahkan pasukan pemanah berada di atas bukit.
            Pasukan pemanah mempunyai dua peranan. Pertama, menghalang tentera Musyrikin daripada berpusing ke belakang bukit dan menyerang tentera Islam dari belakang. Kedua, memanah tentera Musyrikin dari atas bukit. Rasulullah S.A.W memberi arahan yang sangat jelas kepada pasukan pemanah ini “Jagalah bahagian belakangku kerana sesungguhnya aku bimbang sekiranya mereka datang dari arah belakangku. Tetaplah kamu di tempat masing-masing dan janganlah kamu meninggalkannya. Sekiranya, kamu melihat aku menyerang sehingga memasuki barisan mereka janganlah kamu berpecah belah dari tempat masing-masing. Sekiranya kamu melihat aku terbunuh janganlah kamu menolong aku dan melindungi aku. Hendaklah kamu memanah kuda-kuda mereka kerana kuda tidak dapat mendahului panah. Sesungguhnya, kita akan tetap menang selagi kamu tetap pada kedudukan. Hendaklah menahan serangan dengan panah supaya mereka tidak dapat datang dari belakang kita dan janganlah tinggalkan tempat ini sama ada menang atau kalah”(Al-Mubarakpuri,1979:257).Rasulullah memerintahkan mereka walau apa pun yang berlaku pada tentera Islam 50 orang pemanah ini mesti tetap pada kedudukan mereka dan nabi mengulangi kata-kata baginda beberapa kali. Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada Abdullah bin Zubair, “Kamu tahan kuda-kuda itu dengan panahmu dan jangan sampai mereka datang dari arah belakang kita. Bertahanlah di tempat kamu sama ada kamu menang atau kalah”.
            Nabi Muhammad menyusun tentera kaum Muslimin dengan sayap kanan diserahkan kepada Zubair bin Al-Awwam dan sayap kiri diserahkan kepada Munzir bin Amir. Bendera Islam dipegang oleh Mus’ab bin Umair.
            Pada peringkat awal, peperangan berlaku satu lawan satu kerana pasukan tentera Quraisy ingin menunjuk-nunjuk kekuatan tentera mereka. Walau bagaimanapun, semua tentera mereka yang gagah berjaya dibunuh oleh tentera Islam dan menjadikan tentera mereka berasa gerun untuk bertempur. Selepas itu barulah pertempuran sengit berlaku dan tentera Islam berjaya menumbangkan dan membunuh pemegang bendera tentera musyrikin Quraisy kerana Hamzah bin Abdul Muthalib yang merupakan pakar perang mengetahui cara yang paling senang dan cepat untuk mengalahkan lawan iaitu dengan menumbangkan bendera musuh. Seramai 9 orang pemegang bendera kaum musyrikin mengambil alih bendera dan sebanyak 9 kali jugalah bendera kaum Musyrikin Quraisy rebah sehinggakan tidak ada lagi yang sanggup untuk mengangkat bendera lagi kerana orang yang memegang bendera akhirnya akan terbunuh(Zulkifli,2007:179). Keadaan ini telah menyebabkan semangat tentera Musyrikin Quraisy mula goyah.
   Walau bagaimanapun, pada masa ini tentera berkuda pihak Quraisy yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid masih lagi tersusun dan mereka tidak dapat menyerbu tentera Islam kerana dihalang pasukan pemanah. Mereka terpaksa berundur ke belakang.
            Pada peringkat awal, kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam tetapi akhirnya tewas kepada pihak musuh disebabkan sikap tentera Islam yang mengingkari arahan Nabi S.A.W. Pasukan pemanah telah meninggalkan kubu masing-masing untuk mengejar harta rampasan perang(K.H.Moenawar Chalil,1999:109). Pengaruh harta telah melemahkan kekuatan iman tentera Islam. Hal ini telah memberi peluang kepada Khalid Al-Walid untuk mengkucar-kacir kan benteng pertahanan tentera Islam dengan kembali semula ke Bukit Uhud dari arah belakang setelah pasukan berkudanya berundur. Pada masa inilah ramai sahabat yang mati syahid termasuklah bapa saudara nabi iaitu Hamzah b. Abdul Muthalib.
                                    Kesan Peperangan Uhud
Islam dan Madinah
            Setelah pulang ke Madinah, tentera Islam telah mendapat kritikan yang hebat apabila diejek oleh Yahudi dan kaum  munafik Madinah dengan mengatakan yang mereka pasti terselamat jika tidak bersama berperang. Perkara yang paling penting dalam peperangan ini yang menyebabkan kekalahan umat Islam adalah disebabkan ingkar arahan Nabi S.A.W sebagai ketua dan sifat tamakkan harta.
               Walau bagaimanapun, terdapat pengajaran dan ujian yang besar dalam peperangan ini iaitu Allah S.W.T mahu melihat siapa yang benar-benar taat dan patuh kepada pemimpinnya iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Allah S.W.T memberi peluang kepada orang yang ikhlas berjuang untuk mati syahid. Tambahan pula, dalam peperangan ini nabi juga turut mengalami luka yang banyak pada tubuhnya. Antara luka yang sangat membimbangkan adalah dua keeping pecahan rantai besi yang telah masuk ke dalam dua pipi nabi dan sukar untuk dikeluarkan. Abu Ubaidah cuba membuangnya dengan menggunakan giginya dan menyebabkan dua gigi kacipnya patah(K.H.Moenawar,1999:124). Terlalu banyak pengajaran dan tarbiah dalam peperangan Uhud ini yang Allah S.W.T ceritakan secara panjang lebar di dalam al-Quran dalam surah Ali Imran ayat 149-168.
Quraisy
            Pihak Quraisy terlebih dahulu berundur dari medan perang dan mereka berhenti rehat di Abwa’. Pada masa itu, mereka baru terfikir bahawa kemenangan mereka tidak memberi makna apa-apa kerana mereka tidak mendapat memasuki Madinah, tidak dapat membunuh nabi, tidak dapat  membunuh Abu Bakar dan Umar, tidak mendapat harta rampasan perang dan tawanan. Pada masa itu, mereka berazam untuk berpatah balik menuju ke Madinah tetapi Nabi dari awal lagi dapat mengesan strategi mereka dan Nabi bertindak menghantar perisik dan menyuruh tentera yang menyertai perang Uhud bersedia menuju ke Hamra Al-Asad. Akhirnya, pihak Quraisy tidak berjaya menyerang kembali tentera Islam dan Madinah(Zulkifli,2007:196).
                             Pengebumian para Shuhada Uhud
                             Rasulullah S.A.W sendiri yang menyelia pengebumian para syuhada dan bersabda, “Aku menjadi saksi akan siapa yang tercedera kerana Allah. Allah akan membangkitkan semula dengan cecair berwarna yang menyerupai darah pada lukanya tetapi berwangian kasturi”(Al-Mubarakpuri,1979:275). Pada petang hari sebelum Nabi bersama pasukan Muslimin pulang ke Madinah, baginda memerintahkan menguburkan jenazah syuhada Uhud.
                             Sesetengah sahabat membawa orang yang terbunuh dalam peperangan ke Madinah tetapi Rasulullah S.A.W mengarahkan agar dibawa semula ke tempat di mana ia dibunuh dan dikebumikan di situ. Rasulullah S.A.W menyuruh para sahabat menyusun mayat sahabat yang syahid mengikut kadar hafalan al-Quran yang dihafal mereka. Baginda mengarahkan supaya mayat para syuhada tidak dimandikan bahkan terus dikebumikan setelah menanggalkan baju besi dan pakaian berkulit si mati. Ada yang dikuburkan dalam satu liang lahad dan ada yang dikuburkan beberapa orang dalam liang lahad. Seramai 70 orang Islam telah syahid dalam peperangan ini.
                             Seorang sahabat iaitu Syamas b. Usman dibawa ke Madinah dalam keadaan luka parah dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. Nabi memerintahkan jasadnya dibawa ke Uhud dan dikuburkan di sana.
                                    PARA SYUHADA UHUD

                  HAMZAH BIN ABDUL MUTHALIB
            Hamzah bin Abdul Mathalib merupakan bapa saudara kepada Nabi S.A.W iaitu anak kepada Abdul Muthalib b. Hasyim. Usia Nabi S.A.W dan Hamzah hampir sebaya. Kelahiran yang hampir sebaya itu telah menyebabkan naluri yang mengalir dalam darah diri masing-masing hampir serasi. Hamzah seorang yang tidak suka kepada kehidupan yang penuh hiburan. Beliau lebih gemar memberi perhatiannya kepada soal-soal untuk meningkatkan daya kelakiannya. Beliau gemar kepada latihan kepahlawanan seperti perang tanding, menunggang kuda, memanah, bermain tombak dan beradu kekuatan. Beliau juga gemar memburu binatang liar di hutan(Tarikuddin 2003, siri 20-23: 99-100).
            Hamzah memeluk Islam ketika mana Nabi S.A.W masih lagi berdakwah secara sembunyi-sembunyi dengan menjadikan rumah Arqam b. Abu Arqam sebagai markas penyebaran dakwah. Hamzah merupakan salah seorang pahlawan dalam peperangan Badar al-Kubra. Sejak perang bermula, keberanian dan kepahlawanannya terserlah dan sangat digeruni oleh pihak musuh. Beliau digelar sebagai Singa Allah(اسد الله ). Semasa peperangan tersebut, beliau telah membunuh ramai tentera musuh seperti, Abdullah Asad al- Makhzumi, Tu’mah b. Adi Utbah b. Rabi’ah.
            Selain perang Badar, beliau juga turut serta dalam perang Uhud. Sekali lagi beliau membuktikan keberanian dan kepahlawanannya dengan membunuh ramai musuh. Semasa dalam peperangan itu, beliau berlari-lari ke tengah medan untuk mencari mangsanya. Setelah itu, beliau menjumpai seorang pahlawan Quraisy yang bernama Siba’ b. Uzza. Siba’ berasa pucat melihat Hamzah berdiri di hadapannya kerana itu sudah menandakan bahawa mautnya sudah tiba.
            Hamzah ingin mengulangi kecemerlangannya dengan membunuh Siba’. Namun, Siba’ bukanlah calang-calang pahlawan. Hamzah terpaksa berhadapan dengan Siba’ dengan penuh berhati-hati. Pada ketika itu, Wahsyi b. Harb oarang upahan Jubair b. Mut’im dan Hindun sedang berada di belakang sebuah batu besar tidak jauh dari tempat Hamzah dan Siba’ berlawan. Hamzah tidak mengetahui dan menyedari ada seorang hamba hitam yang mahu menusuknya dengan tombak beracun. Tumpuan Hamzah pada ketika itu hanyalah kepada Siba’. Ketika Hamzah dan Siba’ sedang berlawan, lalu Wahsyi tanpa berlengah terus melontar lembing ke arah badan Hamzah dan terus menikam tepat di bahagian bawah pusat Hamzah. Wahsyi begitu gembira kerana sasarannya sangat tepat. Hamzah berpaling kepada wahsyi dengan wajah yang sakit dan berusaha sedaya upaya untuk mengejar Wahsyi. Hanya beberapa saat sahaja, lalu Hamzah jatuh tersungkur ke bumi dan syahid(al-Kandahlawy 1983:529).
            Setelah berita kematian Hamzah sampai kepada Hindun, maka, wanita pendendam itu tanpa membuang masa terus berlari menuju ke tempat mayat Hamzah yang terbaring. Sebaik sahaja sampai, Hindun terus mengambil pisau di tangannya lalu membelah perut mayat Hamzah dan mengeluarkan hatinya. Kemudian, Hindun memasukkan hati tersebut ke dalam mulutnya dan dimamah dengan perasaan geram. Seperti orang yang kebuluran, Hindun mengunyah-ngunyah hati Hamzah dan cuba ditelannya. Akan tetapi, dia tidak berjaya untuk menelannya lalu, Hindun terus memuntahkan semula hati tersebut ke tanah. Hal ini kerana, hati seorang kekasih Allah tidak akan mampu untuk sebati dengan arah dan dagingnya(Tarikuddin 2003,siri 20-23:139).
            Setelah berakhirnya peperangan, mayat Hamzah dibawa ke hadapan baginda. Nabi S.A.W berasa amat sedih melihat rupa mayat bapa saudaranya yang sudah tidak seperti manusia lagi. Nabi S.A.W terus menangis dengan air mata yang berlinangan. Nabi S.A.W menatap jasad Hamzah dengan pilu, dadanya yang sudah dibelah, hatinya sudah dibuang, telinganya sudah dikerat-kerat dan hidungnya sudah dipotong-potong. Tiba-tiba Safiyah binti Abdul Muthalib datang berlari-lari ke arah tempat baginda berdiri meratapi mayat bapa saudaranya itu. Melihat keadaan itu, Nabi S.A.W terus mengarahkan anak Safiyah iaitu az-Zubair b. Awwam agar menahan ibunya daripada datang mendekati ke tempat mayat Hamzah. Hal ini  kerana, Nabi S.A.W bimbang jika Safiyah tidak tahan melihat mayat Hamzah yang telah diseksa dan di aib dengan sedemikian rupa.
            Selepas itu, Nabi S.A.W menyembahyangkan jenazah Hamzah dan mengebumikannya bersama-sama dengan mayat anak saudaranya yang juga gugur syahid di medan Uhud iaitu Abdullah b. Jahasy, anak kepada Barrah binti. Abdul Muthalib.
            Oleh itu, syahidnya Hamzah b. Abdul Muthalib bukan seperti syahidnya para pahlawan dan pejuang Islam yang lain. Beliau telah mendapat kemuliaan dari Allah kerana jasa-jasanya yang tidak ternilai terhadap Nabi S.A.W dan Islam. Beliau telah dipilih oleh Allah untuk menjadi sebaik-baik syuhada sama ada yang baru atau yang akan menyusul. Hamzah mendapat darjat syuhada yang paling tinggi. Beliau telah diangkat menjadi penghulu seluruh para syuhada. Sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Hamzah bin Abdul Muthalib adalah penghulu bagi seluruh syuhada”  

                                     MUS’AB BIN UMAIR
            Mus’ab bin Umair merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah dan terhormat. Beliau berwajah kacak dan segak. Beliau menjadi tumpuan kaum wanita pada ketika itu. Ibunya bernama Khunnas binti Malik. Sebelum memeluk Islam, Mus’ab merupakan golongan cendekiawan Makkah dan sering dijemput ke mesyuarat para pemimpin Makkah yang ketika itu dihadiri oleh Abu Jahal, Abu Sufyan Ibn Harb dan para bangsawan yang lain. Selepas memeluk Islam, beliau kemudiannya berubah menjadi seorang yang zuhud dan warak.
            Mus’ab sebenarnya seorang anak yang paling disayangi oleh ibunya berbanding adik-beradiknya yang lain. Semua permintaan beliau tidak pernah ditolak. Oleh itu, tidak hairanlah apabila ibunya sangat marah selepas mengetahui Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa beliau selama beberapa hari dengan harapan Mus’ab akan berpaling dengan Islam. Walau bagaimanapun, Mus’ab tetap teguh dan tegas dengan Islam(Tarikuddin 2003,siri 14-19:116).
            Ibunya telah melakukan banyak perkara sehinggakan dia tidak makan dan minum sehinggalah Mus’ab meninggalkan Islam. Akan tetapi, Mus’ab tetap bertegas dengan pegangannya Islam sehinggakan beliau dihalau keluar dari rumahnya, lalu, beliau tinggal bersama-sama Nabi dan para sahabat lain yang sangat daif pada ketika itu.
            Sewaktu ancaman seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim semakin menjadi-jadi, Nabi telah mengarahkan sebahagian sahabat berhijrah ke Habsyah dan termasuklah Mus’ab dalam rombongan tersebut. Mus’ab merupakan sahabat pertama yang diutuskan Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Dalam dakwahnya, beliau telah mendapat kejayaan cemerlang dan menjadi pembuka jalan kepada Nabi dan sahabat untuk berhijrah ke Madinah.
            Mus’ab telah menyertai dua peperangan besar Islam iaitu Perang Badar dan Perang Uhud. Sewaktu terjadinya perang Uhud, beliau ditugaskan untuk memegang bendera-bendera Islam. Semasa di peringkat kedua peperangan, telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Islam. Walau bagaimanapun, Mus’ab tidak berganjak dari tempatnya sambil berkata bahawa “ Muhammad adalah  rasul dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul”. Pada ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy(Ibn Qamiah) menyerbu ke arah beliau dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulangi laungan tersebut. Laungan tersebut telah menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah lalu menetak tangan kirinya pula. Lalu, Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua tangannya yang kudung itu. Akhirnya, Ibn Qamiah menikamnya dengan tomboknya. Lalu, gugurlah Mus’ab sebagai syuhada Uhud(Tarikuddin 2003, siri 14-19:137-138).
            Ketika jenazahnya hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu telah menyebabkan Nabi S.A.W tidak dapat menahan kesedihan sehingga bercucuran air mata baginda. Keadaan itu digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: “Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka, akhirnya kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu”. 
            Demikianlah, kisah keberanian dan keperibadian seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan dalam mempertahankan akidah yang tidak berbelah bahagi terhadap Islam sekalipun diuji dengan kasih sayang kepada ibunya dan keimanan .Beliau telah menghabiskan umurnya untuk Islam lalu meninggalkan kehebatan dunia dan berhijrah zahir dan batin untuk mencapai kehebatan ukhrawi yang sejati.

                              ABDULLAH BIN JAHSY
            Abdullah bin Jahsy merupakan sepupu Nabi S.A.W iaitu anak kepada Umaimah binti Abdul Mathalib. Di samping itu, beliau juga merupakan ipar Nabi S.A.W kerana saudara perempuannya Zainab binti Jahsy merupakan isteri Nabi S.A.W. Abdullah memeluk Islam sebelum Nabi S.A.W menjadikan rumah al-Arqan sebagai pusat dakwah. Oleh sebab itu, beliau termasuk antara sahabat yang awal masuk Islam (al- sabiquna al-awwalun).
            Abdullah merupakan orang yang kedua berhijrah selepas Abu Salamah ketika Nabi S.A.W mengizinkan para sahabat berhijrah ke Madinah.
            Beliau merupakan salah seorang lapan orang yang dipilih Nabi S.A.W untuk membentuk sebuah pasukan tentera Islam dan beliau dipilih sebagai ketua. Abdullah memegang bendera Islam yang pertama yang diikat pada tongkatnya. Setelah dilantik menjadi pemimpin, beliau diperintahkan oleh Nabi S.A.W untuk melakukan pengembaraan bagi tugasan perisikan. Semasa berlaku perang Badar, beliau sama-sama turut berjuang dengan kaum Muslimin dan beliau mengalami kecederaan parah.
            Beliau juga turut sama-sama berjuang ketika peperangan Uhud. Semasa dalam peperangan tersebut berlakulah suatu peristiwa yang dialami oleh Abdullah bin Jahsy dan Sa’ad bin Abi Waqas. Ketika mereka berdua berada di suatu tempat yang agak terpencil, lalu, Sa’ad bin Abi Waqas berdoa kepada Allah, “ Ya Allah. Pertemukanlah aku dengan musuh yang paling buas dan jahat. Aku akan melawannya dan berikanlah aku kemenangan”.
            Manakala, Abdullah bin Jahsy mengaminkan doa itu, dan turut menambah doa tersebut, “ Ya Allah. Pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan gugur di tangannya. Kemudian, dia memotong hidung dan telingaku”.
            Ketika perang berakhir, ternyata Allah mengabulkan doa Abdullah bin Jahsy. Para sahabat menemui jasadnya gugur seperti mana doa yang dimintanya daripada Allah. Hidung dan telinganya hilang serta tubuhnya digantung dengan seutas tali.
            Allah memelihara Abdullah bin Jahsy dengan pahala syahid bersama-sama Hamzah bin Abdul Muthalib. Kedua-duanya gugur dan dimakamkan di dalam satu liang lahad. Rasulullah mengalir air mata membasahi kubur mereka, menambahkan keharuman darah syahid mereka tertumpah melumuri jasad mereka.

                                                MUKHAIRIQ
            Mukhairiq merupakan seorang pendeta Yahudi. Beliau merupakan kawan baik kepada dua orang pendeta Yahudi lain iaitu Abdullah bin Salam dan Abdullah bin Suria. Allah telah mencampakkan cahaya keimanan ke dalam hati Mukhairiq pada hari Nabi dan kaum Muslimin keluar berperang di medan Uhud. Pada hari itu jugalah beliau memeluk Islam dan mengajak kaumnya bersama-sama Nabi. Akan tetapi, orang Yahudi menolak ajakannya dengan berkata bahawa hari itu adalah hari Sabtu dan mereka tidak dibenarkan melakukan apa-apa pekerjaan termasuklah berperang. Walau bagaimanapun, Mukhairiq tidak bersetuju dengan mereka lalu beliau berkejar ke medan perang Uhud dan berjuang untuk membunuh musuh-musuh Allah.
            Sebelum beliau berangkat, beliau berpesan bahawa jika dia terbunuh di medan Uhud, maka, beliau mewasiatkan seluruh harta kekayaannya diserahkan kepada Nabi S.A.W untuk digunakan. Setelah itu, beliau terus menunggang kudanya dan berkejar ke Bukit Uhud. Sebaik sahaja beliau sampai di sana, beliau mendapati tentera Islam hampir tewas dengan tentera musyrikin Quraisy. Beliau berasa sangat marah dan geram dengan pihak musuh yang begitu galak menghentam dan membunuh tentera-tentera Islam. Dengan pedang yang terhunus di tangannya, Mukhairiq terus menyerbu ke tengah-tengah medan sambil memarang dan membelah kepala-kepala musuh yang melintasinya. Namun, akhirnya beliau telah menerima nasib yang begitu agung dan indah seperti mana yang telah dirasai oleh Hamzah bin Abdul Muthalib, Mus’ab bin Umair, Abdullah bin jahsy dan ramai lagi. Mukhairiq rebah di kaki kudanya dengan darah syuhada yang akan berlumuran di badannya pada hari kebangkitan nanti.
            Nabi Muhammad berkata bahawa sesiapa yang ingin melihat ahli syurga yang tidak pernah sembahyang walaupun sekali, maka, lihatlah Mukhairiq. Hari itu dia Islam dan ikut berjihad, hari itulah dia syahid dan hari itulah juga dia mendapat syurga(Abdullah Zulkifli&Noor Naemah 2010:181-182).

                                    MALIK BIN SINAN
            Malik bin Sinan merupakan bapa kepada Abu Said al-Khudri, salah seorang  daripada tiga orang pakar hadis dalam kalangan para sahabat Nabi dari golongan orang-orang Ansar. Beliau merupakan sahabat Nabi yang kaya kerana memiliki harta yang banyak. Walau bagaimanapun, beliau sanggup mengorbankan harta kekayaannya semata-mata untuk meninggikan agama Allah sehingga seluruh hartanya habis. Malik bin Sinan sanggup menjadi miskin kerana yakin bahawa setiap pengorbanannya tidak akan disia-siakan oleh Allah. Nabi Muhammad begitu berbangga dengan sikap Malik bin Sinan dan memujinya di hadapan sahabat-sahabat lain.
            Malik bin Sinan turut bersama-sama nabi berperang di medan Uhud. Setelah  peperangan berkecamuk, lalu, beliau menyerbu ke tengah medan dan membuka pedangnya. Beliau berjuang dengan penuh semangat di dada. Akan tetapi, setelah Khalid al-Walid menyerang tentera Islam dari arah belakang Bukit Uhud, dan hampir 90% tentera Islam lari meninggalkan medan, namun, Malik bin Sinan tetap tidak berganjak walau setapak pun. Beliau meliar matanya kerana mencari Nabi. Dalam keadaan itu, beliau terus menyerbu dan menyerang musuh sehingga badannya mendapat luka-luka. Selepas itu, beliau terpandang Nabi yang juga mendapat kecederaan pada bahagian muka baginda dan sedang dikelilingi para sahabat yang lain. Melihat keadaan itu, Malik bin Sinan, terus mendapatkan Nabi dan memeluk baginda lalu menjilat darah yang mengalir di pipi Nabi yang mulia. Dalam beberapa saat sahaja, darah suci Nabi telah bercampur dengan darahnya. Maka, sebatilah darah dua insan yang jauh bezanya di sisi Allah(Tarikuddin 2003,siri 14-19:36).
            Beberapa batang anak panah terus menyerang dan menembusi badan Malik bin Sinan ketika badan beliau menjadi perisai kepada tubuh nabi. Maka, gugurlah Malik bin Sinan sebagaimana gugurnya sekuntum bunga seroja di pantai yang dihempas ombak.
            Setelah peperangan selesai, Nabi telah menjumpai mayat Malik bin Sinan terbaring senyum kerana telah mengecapi kenikmatan syurga Firdaus. Baginda bersabda ketika mayat Malik bin Sinan diusung untuk dikebumikan:
            “Barang siapa yang rindu melihat pahlawan yang darahnya bercampur dengan darahku, maka, lihatlah kepada Malik bin Sinan”.

                              ANAS IBNU NADHAR
            Anas ibnu Nadhar merupakan sahabat Nabi yang tidak menyertai perang Badar. Beliau sangat menyesal dan sering memarahi dirinya sendiri kerana tidak dapat menyertai tersebut. Oleh sebab itu, beliau sangat berharap dapat menebusnya dalam peperangan selepas itu. Semasa terjadinya peperangan Uhud, Anas ibnu Nadhar turut serta sebagai pejuang yang gagah dan berani. Semasa dalam peperangan tersebut, Anas ibnu Nadhar melihat sahabat Sa’ad bin Mu’adz sedang berjalan lalu menegurnya. Setelah itu, beliau berkata bahawa beliau telah mencium keharuman syurga dari arah Uhud. Di tengah-tengah peperangan tersebut, beliau berperang tanpa henti sehinggalah beliau syahid. Sahabat menjumpai mayat beliau di antara para korban dengan 80 luka akibat tebasan pedang, tusukan tombak dan tusukan anak panah yang dilakukan oleh kaum Quraisy(Abdurrahman Umairah 2001:141). Mayat beliau begitu teruk sekali sehingga tidak dikenali oleh sahabat lain. Hanya, saudara perempuannya sahaja yang dapat mengenalinya melalui ujung jari tangannya.
            Inilah kisah Anas ibnu Nadhar yang mencium keharuman syurga ketika masih hidup di dunia. Jika keikhlasan sudah ada pada diri seseorang, maka, nikmat syurga pasti akan dirasai olehnya di dunia. Terdapat ayat al-Quran yang diturunkan berkaitan dengan Anas ibnu Nadhar. Firman Allah dalam al-Quran:
z`ÏiB tûüÏZÏB÷sßJø9$# ×A%y`Í (#qè%y|¹ $tB (#rßyg»tã ©!$# Ïmøn=tã ( Nßg÷YÏJsù `¨B 4Ó|Ós% ¼çmt6øtwU Nåk÷]ÏBur `¨B ãÏàtF^tƒ ( $tBur (#qä9£t/ WxƒÏö7s? ÇËÌÈ  
Maksudnya: di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun.(al-Ahzab:23)

                                                HANZOLAH                
            Hanzolah merupakan seorang sahabat Nabi S.A.W yang baru sahaja berkahwin pada malam sebelum berlakunya peperangan Uhud. Pada malam itu, Hanzolah meminta keizinan Nabi S.A.W untuk bersama-sama isterinya sedangkan dia tidak tahu sama ada malam itu sebagai malam pertemuan atau malam perpisahan bagi pasangan tersebut. Nabi S.A.W memberi keizinan kepada Hanzolah untuk beliau bermalam bersama isterinya.
            Namun, ketika Hanzolah terjaga dari tidurnya, beliau mendengar gendang perang dibunyikan dengan begitu kuat sekali. Beliau mendapatkan berita daripada salah seorang sahabat bahawa tentera Islam mendapat tentangan yang hebat dan berada dalam keadaan genting. Lalu, tanpa membuang masa, Hanzolah terus memakai pakaian perang dan mengambil pedang. Beliau menuju ke medan tempur tanpa sempat mandi junub.
            Semasa dalam perang tersebut, Hanzolah berlawan dengan Abu Sofyan b. Harb. Dengan tangkasnya, beliau menebas kaki kuda Abu Sofyan dari arah belakang sehingga Abu Sofyan terjatuh dari kudanya. Pada saat itu, datanglah Syaddah b. Al-Aswad membantu Abu Sofyan melawan Hanzolah. Kemudiannya, salah seorang daripada mereka telah melempar lembing dan menusuk ke hati bersih Hanzolah. Lalu, Hanzolah turut menjadi korban peperangan Uhud dalam keadaan masih berjunub.
            Semasa Nabi S.A.W melihat mayat beliau selepas perang tamat, baginda berkata bahawa Hanzolah telah dimandikan oleh para malaikat. Pada masa itu Nabi S.A.W berpaling daripada mayat itu. Sahabat-sahabat bertanya Nabi S.A.W sebab baginda berpaling daripada mayat. Lalu, baginda menjawab bahawa bersama-sama Hanzolah ada dua orang isterinya daripada bidadari syurga.
            Salah seorang daripada sahabat, Abu Said Saidi pergi melihat mayat Hanzolah. Wajah beliau begitu tenang sekali. Dari rambutnya, kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzolah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luar biasa ini. Malahan, wafatnya juga sebagai syuhada menjadikan beliau sebagai penghuni syurga tanpa dihisab. 

                                    SA’AD BIN AR-RABI’
            Nama penuhnya ialah sa’ad bin ar-Rabi’ bin Amr bin Abi Zuhair. Sa’ad merupakan salah seorang syuhada semasa perang Uhud. Beliau gugur disebabkan terkena 12 luka libasan pedang musuh dengan luka yang cukup serius.
            Ketika Sa’ad sedang nazak, seorang pejuang Muslimin datang menghampirinya dan berkata bahawa dia mendengar berita tentang kematian Nabi S.A.W. Kemudian, Sa’ad berkata bahawa jika Muhammad terbunuh, maka, Tuhannya Muhammad tidak akan pernah terbunuh, agama serta risalah yang dibawanya akan selalu terjaga. Jadi, apa yang sedang kamu lakukan di sini ….?.cepat pergi dan belalah agamamu.
            Sementara itu, Nabi S.A.W menyusun semula pasukan tentera Muslimin yang telah kucar-kacir. Baginda memanggil satu persatu para sahabatnya bagi mengetahui siapa yang masih hidup dan siapa yang gugur. Pada ketika itu, baginda tidak menemukan Sa’ad bin Rabi’. Lalu, baginda bersabda: “siapakah lelaki yang ingin melihat untukku keadaan Sa’ad bin Rabi’, sama ada beliau masih hidup atau pun telah syahid?” kemudian, seorang lelaki daripada kalangan Anshor berkata, “saya”.
             Selepas itu, lelaki tersebut pergi mencari dan melihat, sehinggalah dia dapati Sa’ad b. Rabi’ dalam keadaan cedera parah dan hampir mati di kalangan mayat-mayat orang yang terbunuh. Lelaki itu terus memberitahu Sa’ad bahawa Nabi S.A.W menyuruhnya untuk melihat keadaan beliau sama ada beliau masih hidup atau telah syahid.
            Kemudian, Sa’ad memberitahu bahawa dia hampir mati dan menyuruh lelaki tersebut menyampaikan salamnya kepada Nabi S.A.W dan memberitahu baginda bahawa sesungguhnya Sa’ad bin Rabi’ berkata kepada Tuan:
“ Semoga Allah membalas Tuan dengan sebaik-baik ganjaran yang pernah dibalas kepada seseorang nabi daripada umatnya.”
            Beliau juga meminta lelaki tersebut menyampaikan salamnya kepada umat Nabi S.A.W dan katakanlah kepada mereka:
“Sesungguhnya Sa’ad berkata kepada kamu: Kamu tidak ada apa-apa alasan lagi di sisi Tuhan kamu, jika ada yang berjaya menyakiti Nabi S.A.W, padahal di kalangan kamu masih ada mata yang berkedip”(al-Ghazali 2010: 490).

                                          IMARAH IBN YAZID
      Namanya ialah Imarah ibn Yazid ibn Sakan. Beliau merupakan orang yang melindungi Nabi S.A.W dari arah bawah, meskipun, tubuhnya sendiri dipenuhi luka.di tengah-tengah situasi genting tersebut, Nabi S.A.W sempat berseru supaya mendekatkan Imarah kepada baginda. Lalu, Imarah pun merentangkan kakinya ke arah Nabi S.A.W. Imarah syahid dalam posisi pipinya menempel di hujung kaki Nabi S.A.W(al-Buthy 2009:289).
                                                IYAS BIN AUS
            Seorang lagi pahlawan Muslimin yang berjuang di medan Uhud iaitu Iyas bin Aus. Beliau telah berjuang dengan gagah dan beraninya sehinggalah beliau gugur syahid dalam peperangan tersebut. Beliau telah mengikuti langkah sahabat-sahabat lain. Rohnya telah terbang ke langit dan menuju ke pintu Firdaus yang terbuka luas(Tarikuddin 2003, siri 14-19:33)
            Selain daripada 10 orang syuhada di atas, terdapat ramai lagi sahabat yang gugur syahid dalam peperangan Uhud ini. Mereka adalah Syammas bin Utsman, Amr bin Mu’adz bin Nu’man, al- Harith bin Anas bin Rafi’, as-Sakan bin Rafi’, Salamah bin Tsabit  bin Waqasy, Husail bin Jabir(bapa kandung Huzaifah dan al-Yaman), Shaifi bin Qaizhi, ‘Amru bin Tsabit bin Wahsyi, Habbab bin Qaizhi, ‘Abbad bin Sahli, Al-Harits bin Ans bin Mu’adz, ‘Ubaid bin At-Taihan, Habib bin Yazid bin Taimi, Yazid bin Hathib bin Umaiyah bin Rafi’, Abu Sufian bin Al-Harits bin Qais bin Zaid, Unais bin Qatadah, Abu Habbah bin ‘Umar bin Tsabit, ‘Abdullah bin Jabair bin An-Nu’man (Ketua Batalion Pemanah), Abu Sa’ad Khaitsamah bin Khaitsamah,  ‘Abdullah bin Salamah, Subai’ bin Hathib bin Al-Harits, ‘Amru bin Qais,  Qais bin ‘Amru bin Qais, Tsabit bin ‘Amru bin Zaid, ‘Amir bin Mukhallid, Abu Hurairah bin Al-Harits bin ‘Alqamah bin ‘Amru, ‘Amru bin Muthraf ‘Alqamah bin ‘Amru.
             ‘Aus bin Tsabit bin Al-Mudzir (Adik-beradik Hussan bin Tsabit), Qais bin Mukhallid,  Kaisan (Hamba kepada Bani An-Najjar),  Salim bin Al-Harits,  Nu’man bin ‘Abdu ‘Amru,  Kharijah bin Zaid bin Abu Zuhair, Aus bin Al-Arqam, Sa’id bin Suwaid, ‘Utbah bin Rabi’, Tsa’labah bin Sa’ad bin Malik, Saqaf bin Farwah bin Al-Budai, ‘Abdullah bin ‘Amru bin Wahab, Dhamrah (Halif bagi Bani Tharif), Naufal bin ‘Abdullah, ‘Abbas bin ‘Ubadah,  Nu’man bin Malik bin Tsa’labah, Al-Mujdar bin Ziad (Dikebumikan dalam satu kubur), ‘Ubadah bin Al-Hashas, Rifa’ah bin ‘Amru, ‘Abdullah bin ‘Amru (dari Bani Haram)( Dikebumikan dalam satu kubur), ‘Amru bin Al-Jamuh (dari Bani Haram), Khallad bin ‘Amru bin Al-Jamuh, Abu Aiman, Maula ‘Amru bin Al-Jamuh, Salim bin ‘Amru bin Hadidah, Antarah (Maula Salim), Sahal bin Qais bin Abu Ka’ab, Dzakwan bin ‘Abdu Qais, ’Ubaid bin Al-Mu’alla,  Malik bin Tumailah, Harits bin ‘Udai bin Khursyah, Malik bin Iyas,  Iyas bin Udai, dan ‘Amru bin Iyas.
                                   Kesimpulan
            Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 hijjrah telah menyaksikan kekalahan tentera Islam disebabkan oleh ketamakan tentera pemanah akan harta dan mengingkari perintah Nabi. Seramai 70 orang pahlawan Islam telah syahid dalam peperangan tersebut. Oleh sebab itu, peperangan Uhud ini memberi  pelbagai iktibar kepada masyarakat Islam pada hari ini, antara yang paling penting adalah patuh kepada arahan pemimpin dan berniat ikhlas dalam berjuang menentang musuh Allah dan agama.
                                                            RUJUKAN
Al-Quran
Dr. Said Ramadhan al-Buthy.2009.Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah Ma’a Mujaz li Tarikh al-Khalifah ar-Rasyidah.Damaskus:Darul Fikr.
Safi ur-Rahman al-Mubarakpuri.1979.الرحيق المختوم بحنث في السيرة النبوية.Madinah:al-Hidayah of publishers sdn.bhd.
Dr. Abdurrahman Umairah.2001.Tokoh-tokoh yang Diabadikan Al-Quran Jilid 3.Jakarta:Geme Insani Press.
Tarikuddin bin Haji Hassan.2003.Para Sahabat yang Telah Mencium Keharuman Firdaus siri 20-23.Johor:Perniagaan Jahabersa.
Tarikuddin bin Haji Hassan.2003.Para Sahabat yang Telah Mencium Keharuman Firdaus siri 14-19.Johor:Perniagaan Jahabersa.
Syeikh Muhammad al-Ghazali.2010.Fiqh Sirah.Kuala Lumpur:Pustaka Salam SDN.BHD.
Zulkifli mohd yusuf, nor naemah abdul Rahman.2007.Biografi Muhammad b. Abdullah:PTS Islamika SDN.BHD.
K.H. Moenawar Chalil.2011.Muhammad Gemilang Sebuah empayar:PTS Islamika SDN.BHD.